BATU PAHAT: Seramai 21 orang termasuk 19 penumpang cemas dan nyaris maut selepas bas ekspres yang mereka naiki terbakar setelah melanggar sebuah motosikal di Kilometer 97.3 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat sini kira-kira pukul 10 malam tadi.
Kesemua mereka termasuk pemandu bas dan penunggang motosikal tersebut sempat menyelamatkan diri.
Difahamkan, kebakaran berlaku selepas motosikal Yamaha Y15 ditunggang seorang lelaki dilanggar oleh bas ekspres berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd. Yusuf berkata, sebaik sahaa anggota tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal Yamaha Y15 dan bas ekspres didapati sedang terbakar, namun semua penumpang, pemandu bas serta penunggang motosikal sudah berada jauh dari kawasan kebakaran.
“Anggota mengambil tindakan memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air dari ‘water tanker’ sehingga api tersebut dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Asyraf, anggotanya juga memberikan rawatan awal kepada penunggang motosikal yang cedera sebelum dirujuk ke hospital berdekatan.
Kedua-dua kenderaan terbabit terbakar kira-kira 90 peratus. – UTUSAN