Oleh Zatul Iffah Zolkiply – Disember 19, 2022 @ 9:32am
zatuliffah@hmetro.com.my
SETIU: Hujan berterusan menyebabkan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini terus meningkat.
Setakat jam 9 pagi, 12 sungai direkodkan melepasi paras bahaya, manakala tiga sungai masing-masing melepasi paras amaran dan waspada.
Dua belas sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah masing-masing tiga sungai di Besut, Setiu dan Kemaman serta masing-masing satu di Hulu Terengganu, Dungun dan Marang.
Di Besut, ia membabitkan Sungai Besut di Jambatan Keruak dengan bacaan 39.30 meter (m), Sungai Besut di Kampung La (26.81m) dan Sungai Besut di Jambatan Jerteh (10.12m).
Bagi daerah Setiu, ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Bukit (14.75m), Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (10.08m) dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok (10.08m).
Sementara itu, tiga sungai di Kemaman turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak (20.39m), Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih (15.02m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (2.9m).
Tiga sungai yang menunjukkan bacaan melepasi paras amaran adalah Sungai Peneh di Felda Mengkawang, Hulu Terengganu (37.5m), Sungai Terengganu di Muzium Terengganu, Kuala Terengganu (2.22m) dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman (4m).
Selain itu, tiga sungai lagi turut melepasi paras waspada iaitu Sungai Terengganu di Jambatan Kuala Berang, Hulu Terengganu (9.65m), Sungai Terengganu di Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu (1.95m) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus (2.67m).