Tip Keselamatan Kebakaran
Senarai semak ringkas panduan keselamatan kebakaran berikut dapat membantu anda mencegah kebakaran :
- Disyorkan supaya memasang alat pengesan asap di setiap tingkat. Tempat yang sesuai ialah pada siling, di dalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.
- Pastikan ada dua laluan kecemasan dari setiap bilik dan semua penghuni tahu serta telah berlatih menggunakannya.
- Jangan sekali-kali merokok sambil berbaring di atas katil semasa berada dalam keadaan mengantuk, mabuk atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.
- Gunakan bekas habuk rokok yang besar dan berat. Pastikan puntung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.
- Elakkan membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik.
- Letakkan mancis dan pemetik api di tempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
- Bekas-bekas yang mengandungi cecair mudah bakar hendaklah disimpan di tempat yang jauh dan selamat dari punca api dan kanak-kanak.
- Jangan biarkan lilin menyala tanpa diawasi walaupun sesaat dan jauhkannya dari kanak-kanak.
- Anda disyor meletakkkan satu unit Alat Pemadam Api jenis debu kering ataupun jenis gas di rumah.