KUALA LUMPUR: Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan berat dipandunya gagal dikawal lalu terbabas ke longkang di Kilometer 44.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, G G Krishnan, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di bawah kepala treler bermuatan kertas terpakai itu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Temerloh, Pahang.
“Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan masuk ke longkang.
“Pemandu treler maut akibat tersepit di bawah treler dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong membantu mengeluarkan mayat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Zaiham berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca kemalangan dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
kredit sumber : Bharian Online
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/06/830605/treler-terbabas-pemandu-maut