
SIBURAN 13 Jun: Peralatan dan jentera digunakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu dinaik taraf selari dengan perubahan zaman dan skop tugas pasukan itu yang kian mencabar.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, skop operasi JBPM hari ini bukan sekadar memadam kebakaran, malah turut merangkumi usaha menyelamatkan mangsa dalam kemalangan, bencana alam dan pelbagai kecemasan lain.
Menurutnya, sebahagian peralatan dan jentera yang digunakan ketika ini didapati sudah usang dan perlu diganti agar kecekapan operasi tidak terjejas.
“Saya menyeru Kerajaan MADANI menyantuni keperluan anggota bomba agar mereka dilengkapi dengan peralatan moden dan sesuai dengan peredaran zaman.
“Ini penting supaya mereka bukan saja dapat bertindak pantas, tetapi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sambutan Gawai Dayak 2025 JBPM Zon 2 Sarawak di Dewan Serbaguna Balai Bomba dan Penyelamat Siburan, malam ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Jamri Masran.
Willie turut berharap kerajaan memantau dan menyelenggara aset JBPM secara berkala agar ia sentiasa berada dalam keadaan optimum.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan permohonannya untuk mendirikan sebuah Balai Bomba Kelas D di Teng Bukap, Padawan masih belum mendapat kelulusan.
“Permohonan itu masih menunggu kata putus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta JBPM.
“Namun buat masa ini, keupayaan balai sedia ada di kawasan Parlimen Puncak Borneo masih mencukupi dengan bantuan pasukan bomba sukarela yang sangat aktif,” katanya.