Klang: Anggota bomba menyelamatkan empat individu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terperangkap dalam lumpur di belakang Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Serdang, awal pagi tadi.
Empat individu iaitu seorang wanita serta tiga kanak-kanak perempuan dipercayai baru mendarat di perairan negeri ini sekitar jam 4 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.33 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang wanita serta tiga kanak-kanak perempuan terperangkap dalam lumpur.
“Anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan memasang dua tali menyelamat dan bergerak ke arah mangsa dengan menggunakan bot kecil.
“Tindakan menyelamatkan semua mangsa dilakukan secara ulang-alik sebelum air pasang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, empat PATI berkenaan dipercayai bangsa Rohingya berusia lima hingga 30 tahun.
Katanya, operasi menyelamat selesai pada jam 7.10 pagi dan mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat hampir 40 PATI ditahan ketika cuba menyelinap masuk ke dalam negara ini bagaimanapun empat daripadanya terperangkap dalam lumpur