BAU, 15 Mei 2025
Bau dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Bomba Sarawak tahun ini yang diadakan bersempena penganjuran Pesta Tasik Biru 2025.
Timbalan Menteri Pengangkutan II Sarawak, Datuk Henry Harry Anak Jinep berkata pemilihan itu memperkukuh hubungan erat antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bersama komuniti setempat menerusi pelbagai program keselamatan yang dijalankan sepanjang tahun.
Menurutnya, penganjuran program kali ini adalah bertujuan untuk memperluaskan kesedaran awam akan kepentingan pencegahan kebakaran dan tindakan awal sekiranya berada didalam kecemasan kepada masyarakat umum.
Katanya, dengan penubuhan Pasukan Bomba Komuniti N.2 Tasik Biru, adalah diharapkan pasukan ini dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan berkenaan pencegahan dan keselamatan kebakaran untuk (jiran) mereka sendiri.
“Sebanyak empat kampung telah dipilih bagi menyertai program Pasukan Bomba Komuniti N.2 Tasik Biru iaitu Kampung Melayu, Kampung Pangkalan, Kampung Krian dan Kampung Skibang membabitkan 48 peserta yang menerima latihan intensif.
“Penubuhan Pasukan Bomba Komuniti N.2 Tasik Biru yang diharap mampu memanfaatkan ilmu kebombaan untuk kegunaan individu, keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Untuk pengetahuan semua, Bomba Komuniti yang dilancarkan pada 2014 merupakan inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam meningkatkan tahap kesedaran kes kebakaran dalam kalangan masyarakat di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut sama memadam kebakaran dan memupuk semangat kekitaan dan perpaduan antara masyarakat dan bomba,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Keselamatan Kebakaran bersempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 yang berlangsung di Lepapa Bau hari ini.
Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB) Jamri Masran berkata kempen tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran keselamatan, malah menjadi platform menghargai jasa dan pengorbanan anggota bomba yang sentiasa berkhidmat demi keselamatan rakyat.
Menurutnya, JBPM Sarawak turut melaksanakan Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) di beberapa premis perniagaan dan hotel sekitar Bau bagi menilai tahap keselamatan bangunan berkenaan.
Untuk rekod sepanjang tempoh empat hari sehingga Ahad ini, pelbagai pameran dan demonstrasi kebombaan dianjurkan, termasuk penggunaan alat pemadam api, teknik memadam api dapur dan kaedah menyelamat di air.










