istana6 istana5 istana4 istana3 istana2 istana1
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi-agensi kerajaan di Istana Negara, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Dato’ Ir. Dr. Haji Md. Nasir Md. Noh, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato’ Sri Ts Mohammad Hamdan Haji Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Khairul Shahril Idrus.
Pada sesi persembahan taklimat itu, Seri Paduka Baginda bertitah semua agensi menitikberatkan koordinasi bantuan dan operasi menyelamatkan mangsa banjir bagi memastikan ianya dapat dilaksanakan dengan berkesan, tepat dan cepat. Seri Paduka Baginda turut bertitah koordinasi yang baik antara semua agensi adalah amat penting dan juga bagi memastikan tidak berlaku pertindihan tugas ketika pelaksanaan operasi menyelamatkan mangsa banjir dan misi bantuan kepada mangsa banjir.