PROGRAM INTERAKTIF DAN OUTREACH UNIT PENGURUSAN PSIKOLOGI JBPM BERSAMA JBPM NEGERI PERAK

Ipoh, 27 Ogos 2025 (Rabu) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak dengan kerjasama Unit Pengurusan Psikologi JBPM telah menganjurkan Program Interaktif dan Outreach bertempat di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan penyertaan seramai 120 orang pegawai gunasama, anggota serta pegawai bomba dari Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, wakil Pejabat Zon dan balai-balai bomba di seluruh negeri.

Program ini dilaksanakan bagi menyokong hasrat kerajaan dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan melalui aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia. Antara objektif utama program ini adalah untuk mempromosikan perkhidmatan psikologi selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan MyPPSM Ceraian PO.3.1.1 – Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta diikuti ucapan alu-aluan daripada pihak Pengurusan Tertinggi JBPM Negeri Perak. Seterusnya, peserta disajikan dengan pelbagai slot interaktif bersama Unit Pengurusan Psikologi JBPM termasuk pengenalan perkhidmatan psikologi, perkongsian mengenai pengurusan stres, serta sesi soal jawab psikologi yang memberi ruang kepada peserta untuk mendapatkan panduan serta khidmat nasihat secara langsung.

Penganjuran program ini bukan sahaja memberi manfaat dalam meningkatkan pengetahuan mengenai psikologi di kalangan warga bomba, malah mampu memperkukuhkan daya ketahanan mental dan kesejahteraan emosi anggota dalam melaksanakan tugas harian yang penuh cabaran.

ms_MYMalay