pic4

MAJLIS PENYERAHAN SIJIL PERAKUAN BOMBA, GERAN PASUKAN BOMBA SUKARELA DAN BOT KOMUNITI 2025

Kuantan, 29 September 2025 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang telah mengadakan Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Bomba, Geran Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Bot Komuniti Tahun 2025 bertempat di Dewan Sri Mahkota, Ibu Pejabat JBPM Negeri Pahang.

Majlis yang disempurnakan oleh Pengarah JBPM Negeri Pahang, YS PKPjB Dato’ Mohd Razam bin Taja Rahim, turut dihadiri barisan pegawai kanan jabatan, ketua zon, ketua balai, wakil Pasukan Bomba Sukarela serta Bomba Komuniti dari seluruh negeri.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota JBPM, PBS dan Bomba Komuniti yang sentiasa berkorban masa dan tenaga demi keselamatan masyarakat meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk fenomena cuaca ekstrem dan bencana banjir.

Majlis pada kali ini menyaksikan penyerahan Sijil Perakuan Bomba kepada empat buah premis yang mematuhi piawaian keselamatan kebakaran dengan cemerlang. Antara penerima ialah Kilang Sawit Wujud Wawasan, Fakulti Kekomputeran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Pekan, DRB Hicom HA 2 serta Awana Sky Station, Genting Berhad. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen syarikat-syarikat berkenaan dalam memastikan tahap keselamatan kebakaran yang tinggi di premis masing-masing.

Selain itu, sebanyak 27 Pasukan Bomba Sukarela telah menerima geran khas bagi tahun 2025 sebagai usaha memperkukuh keupayaan operasi, latihan serta penglibatan komuniti dalam memperkasakan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan. Pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa PBS adalah sebahagian daripada nadi penting JBPM dalam melindungi masyarakat setempat.

Majlis turut menyaksikan penyerahan 20 unit Bot Komuniti kepada wakil-wakil komuniti yang tinggal di kawasan berisiko tinggi banjir di negeri Pahang. Inisiatif ini merupakan langkah proaktif JBPM dalam memperkasa komuniti agar lebih responsif, berdikari, dan mampu bertindak sebagai responder awal ketika berlaku bencana banjir sebelum bantuan besar tiba.

Majlis penuh bermakna ini diakhiri dengan harapan agar JBPM Pahang bersama-sama PBS dan Bomba Komuniti terus bergerak seiring dalam memperkukuh kesiapsiagaan kebombaan, meningkatkan kesedaran keselamatan serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

pic4
pic4

ms_MYMalay