14 MEI 2023 AHAD: Pada tahun ini, Negeri Melaka telah di pilih untuk melaksanakan Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia (SHABS) 2023 yang bertempat di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Dataran Pahlawan, Melaka.Majlis sambutan yang diadakan dengan penuh istiadat dan kemeriahan ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.Penduduk setempat, orang ramai termasuk dari luar Negeri Melaka serta tetamu-tetamu jemputan telah mula memenuhi kawasan sekitar majlis sejak dari awal pagi lagi.Kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dalam majlis tersebut telah disambut oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), YAS Dato’ Abdul Wahab bin Hj. Mat Yasin, Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta dif-dif Kehormat daripada Kerajaan Negeri Melaka, KPKT dan JBPM.Dalam majlis ini, telah diadakan Lafaz Ikrar Rukun Negara dan Ikrar Wira Merah yang diketuai oleh YS PPjB Abdul Khair bin Osman, Pengarah JBPM Negeri Sembilan. Manakala, persembahan Deklamasi Sajak bertajuk “Pahlawan Wira Merah” yang disampaikan dengan penuh emosi dan amat meruntun hati penonton sehingga mampu menitiskan air mata itu telah dipersembahkan oleh PPgB Seri Tuti Hadayani binti Salleh, pegawai JBPM Negeri Melaka bersama gandingan PB Mohd Fauzi bin Jamikah, anggota JBPM Negeri Sabah.Setelah selesai Lafaz Perasmian Pelancaran SHABS Tahun 2023 serta gimik pelancaran dan menandatangani plak perasmian oleh Tuan Yang Terutama Tun, perhatian penonton telah dialihkan ke laluan pentas utama untuk menyaksikan pertunjukan kebombaan yang menampilkan aksi keberanian dan ketangkasan anggota JBPM.Atur cara berikutnya yang dinanti-nantikan oleh semua yang hadir di majlis tersebut adalah Perbarisan dan Perarakan berjalan lalu kontinjen-kontinjen dan jentera-jentera JBPM serta agensi-agensi jemputan dan turut memaparkan aksi keperkasaan “Abang Bomba Sado” di atas jentera.Bagi melengkapkan dan mengakhiri majlis, Tuan Yang Terutama Tun serta dif-dif Kehormat telah di bawa ke sesi fotografi serta lawatan Pameran Kebombaan yang telah disediakan.Pengurusan Tertinggi JBPM ingin mengucapkan setinggi “TERIMA KASIH” kepada Warga JBPM yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak serta agensi-agensi luar di atas kejayaan melaksanakan majlis SHABS Tahun 2023 ini sehingga selesai.”BOMBA TONGGAK PENYELAMATAN NEGARA”