hari pahlawn

ISTIADAT PERBARISAN DAN MELETAK KALUNGAN BUNGA SEMPENA SAMBUTAN HARI PAHLAWAN PERINGKAT NEGERI KEDAH TAHUN 2022

31 JULAI 2022 – ALOR SETAR : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman bercemar duli ke Istiadat Perbarisan dan Meletak Kalungan Bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah bersama Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Binti Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Tunku Temenggong Kedah.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Dr. Robert Ling Kui Ee, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kedah mewakili Menteri Besar Kedah, Timbalan Ketua Polis Negeri Kedah, Panglima Wilayah Laut 3, dan dif-dif kenamaan yang lain.

Kebawah DYMM Tuanku Sultan turut perkenan menerima Sembah Hormat Diraja dan mencemar duli memeriksa perbarisan. Baginda kemudiannya mencemar duli bagi meneruskan upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan bersempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah.

Usai Upacara Meletak Kalungan Bunga, Baginda Tuanku Sultan sekali lagi perkenan menerima Sembah Hormat Diraja dari Rejimen Askar Melayu Diraja sebelum berangkat pulang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah telah dihadiri oleh YS PKPjB Sayani binti Haji Saidon, Pengarah JBPM Negeri Kedah bersama timbalannya, PPjB Syufa’at bin Kamaron, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Kedah, Penolong-penolong Pengarah Bahagian, Pegawai Kanan Jabatan dan Pegawai Bomba

Lebih 500 orang yang terlibat dalam perbarisan yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Bekas Polis Malaysia, RELA, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa persatuan lagi.

Hari Pahlawan ini telah disambut sejak 1960-an lagi, bagi memberi peluang kepada rakyat menghargai pengorbanan anggota perajurit yang terkorban demi mempertahankan dan menegakkan kedaulatan negara.

English EN Malay MS
Skip to content