JOHOR BAHRU, 3 JULAI 2025 – Surau Kompleks Kuarters Bomba Negeri Johor sekali lagi menjadi lokasi penganjuran Program Semarak Subuh, yang berlangsung dengan penuh keberkatan pagi ini. Program yang memasuki kali kedua penganjurannya di surau tersebut berjaya menarik kehadiran ramai pegawai dan anggota bomba yang menetap di kuarters, bagi sama-sama mengimarahkan solat Subuh secara berjemaah.
Yang turut hadir memeriahkan program ini ialah YS PKPjB Puan Siti Rohani binti Nadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, bersama barisan penolong pengarah JBPM negeri. Antara yang turut hadir ialah PPjB Muhammad Al-Mustakin bin Abd Hady, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor; PgKB I Azmi bin Ab Rahim, Penolong Pengarah Operasi Negeri Johor; dan PgKB II Mustaffa Kamal bin Ahmad, selaku Pengerusi Surau Kompleks Kuarters Bomba Negeri Johor.
Solat Subuh pagi ini diimamkan dengan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Ahzab ayat 33, yang mengandungi peringatan penting kepada kaum wanita agar menjaga kesopanan dan tidak berhias secara berlebihan sebagaimana wanita Arab pada zaman jahiliyah. Ayat tersebut juga menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
Ucapan penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada PPgB Muhammad Taufiq bin Atan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kempas; Tok Kadir bin Younus, Ketua Kampung Kempas; En. Jasri bin Jamil, Penggerak Masjid dan Surau DUN Kempas; serta seluruh muslimin dan muslimat yang hadir bagi menjayakan program ini.
Program sebegini diharap dapat terus memupuk semangat kebersamaan, memperkukuh hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti bomba dan masyarakat setempat, serta mempertingkatkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

