Mei 15, 2025 @ 7:42am
DUNGUN : Seorang pemuda maut selepas van dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 88, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 7.26 malam, Muhammad Aliff Fakhrullah,21, yang berasal dari Kampung Paman, Kemaman disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, mangsa yang sebagai juruteknik sebuah syarikat dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kemaman.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila van yang dipandu mangsa dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan treler terbabit yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat bertembung itu, van yang dipandu mangsa remuk yang menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat AMBS dan Paka terpaksa dipanggil ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Maizura berkata, pasukan bomba mengambil masa selama setengah jam sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, pemadu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Artikel : Berita Harian