Pada 16 Januari 2025,
bertempat di Bilik Mesyuarat Keriang, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, telah berlangsung Majlis Nota Serah Tugas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar. Majlis ini menyaksikan penyerahan tugas rasmi daripada PKPgB Masri bin Ibrahim kepada penggantinya, PKPgB Soleh bin Nasir.
Acara penuh bermakna ini disaksikan oleh YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir, Pengarah JBPM Negeri Johor, bersama barisan Penolong-penolong Pengarah Bahagian. Kehadiran mereka mencerminkan sokongan penuh terhadap proses peralihan tugas yang penting dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan kecemerlangan di JBPM Negeri Johor.
Dalam ucapannya, YS PKPjB Siti Rohani binti Nadir menzahirkan penghargaan kepada PKPgB Masri bin Ibrahim atas dedikasi dan khidmat cemerlang beliau sepanjang memimpin Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PKPgB Soleh bin Nasir atas pelantikan ini dan berharap agar beliau dapat meneruskan legasi kecemerlangan serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Majlis ini berjalan lancar dalam suasana penuh tertib dan simbolik, menandakan permulaan baharu bagi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar di bawah kepimpinan baharu. Dengan semangat kerjasama yang teguh, JBPM Negeri Johor terus komited dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan.


