Oleh Amirul Aiman Hamsuddin – November 28, 2022 @ 7:23pm
bhnews@bh.com.my
HULU SELANGOR: Seramai 10 sekeluarga yang beriadah di Air Terjun Sungai Pinang, Batang Kali, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air, hari ini.
Mereka yang berusia enam hingga 63 tahun itu dipercayai terperangkap di lokasi kejadian hampir empat jam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 petang.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan laporan awal, terdapat 10 mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Manakala dua lelaki dan dua wanita pula masih berada di seberang sungai akibat kepala air yang mengalir daripada hulu sungai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Norazam berkata, kesemua mangsa yang berasal dari Sungai Buloh berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Menurutnya, pihak bomba sedang menjalankan operasi menyelamat kesemua mangsa.
“Ketika ini, anggota bomba berjaya pergi ke seberang sungai dan dalam proses memindahkan mangsa ke tempat selamat.
“Kemas kini kerja penyelamatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
kredit sumber : BH Online