Oleh Hamzah Osman – Oktober 16, 2022 @ 4:22pm
bhnews@bh.com.my
LANGKAWI: Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 44 pendaki dan malim gunung yang terperangkap kejadian kepala air di kawasan rekreasi Air Terjun Telaga Tujuh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, kumpulan pendaki seramai 41 orang berusia di antara 30-an hingga 50-an dibawa tiga malim gunung, bagi melakukan pendakian di lokasi terbabit bermula jam 4 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon, berkata kumpulan terbabit tiba di puncak Air Terjun Telaga Tujuh kira-kira jam 7.30 pagi, sebelum hujan lebat di kawasan berkenaan.
Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai Balai Bomba Langkawi dikejarkan ke tempat itu, selepas Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima maklumat berkaitan mangsa terperangkap pada jam 10.16 pagi.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati terdapat 46 pendaki dan malim gunung yang cuba menuruni kawasan air terjun terperangkap, selepas gagal menyeberang sungai.
“Hujan lebat berterusan dikatakan menyebabkan berlakunya kepala air dan arus deras di sungai terbabit,” katanya di sini, hari ini.
Sayani berkata, anggota bomba membuat ikatan tali pokok ke pokok bagi membolehkan mangsa dibawa menyeberangi sungai.
“Semua mangsa berjaya menyeberang sungai dan dibawa keluar dari lokasi kejadian. Mereka dilaporkan keletihan dan lapar.
“Orang ramai diminta mengelak melakukan aktiviti luar di kawasan berisiko terutamanya ketika keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.
Kredit Sumber : BH Online