MOHD SADIK DIIKTIRAF SEBAGAI HERO BOMBAKuching, 23 Jun 2021
Mohd Sadik bin Isyak 41 tahun, bertindak cepat dan berani apabila memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api debu kering miliknya hingga api tersebut padam sepenuhnya. Ketika ditemui, beliau yang bertugas sebagai juruteknik di Electra House, Kuching memberitahu telah menerima latihan tatacara penggunaan alat pemadam api daripada pihak bomba.Lazimnya, apabila berlakunya kebakaran kebanyakan orang awam akan mengambil gambar dan video daripada telefon bimbit masing-masing untuk dimuat turun di media sosial. Ini berbeza dengan tindakan Mohd Sadik yang mengambil alat pemadam api untuk memadam kebakaran tersebut. Tindakan pantas dan bertanggungjawab beliau telah berjaya menyelamatkan bukan sahaja rumah tersebut, tetapi kediaman lain di kejiranan itu.Dalam kejadian pada 22 Jun 2021 pukul 3.35 petang Pusat Gerakan Operasi menerima satu panggilan kebakaran beralamat di Taman Matang Ria KM 8 Matang, Kuching. Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dengan kekuatan 9 orang anggota menggunakan 1 jentera Fire Rescue Tender dan 1 jentera Emergency Medical Rescue Services telah dikerahkan ke lokasi. Kebakaran tersebut hanya melibatkan kemusnahan struktur belakang rumah dengan anggaran 10 peratus musnah.Menghargai kecekapan beliau, YS PKPjB Khirudin bin Drahman@Hussaini, Pengarah JBPM Negeri Sarawak telah menyampaikan Sijil Hero Bomba kepada beliau di pejabatnya hari ini. Hadir sama ialah PPjB Tiong Ling Hii, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Sarawak.