4 Ogos 2025 (Isnin)
YS PKPjB Mohamad Shoki bin Hamzah, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia Wilayah Utara. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi dalam menangani isu keselamatan pengguna lebuh raya, khususnya berkaitan insiden kemalangan dan cubaan bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang.
Dalam pertemuan tersebut, YS Pengarah telah membentangkan inisiatif JBPM Negeri Pulau Pinang yang memberi penekanan kepada tindakan awal menyelamatkan nyawa melibatkan ancaman bunuh diri. Antara cadangan ialah pemasangan peralatan penyelamat nyawa (Life Saving Appliances, LiSA) di lokasi-lokasi panas di sepanjang jambataan dibincangkan bagi memastikan langkah pencegahan lebih proaktif dapat dilaksanakan.
Turut menjadi agenda perbincangan ialah isu berkaitan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan terutamanya kenderaan pengangkutan membawa bahan berbahaya. Perbincangan ini menekankan keperluan koordinasi yang lebih mantap antara pihak lebuh raya dan pasukan bomba bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kakitangan yang terlibat dalam operasi kecemasan sentiasa terpelihara.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen JBPM Negeri Pulau Pinang untuk terus menjadi peneraju dalam keselamatan awam serta bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak dalam usaha mengurangkan risiko kehilangan nyawa di kawasan lebuhraya dan Jambatan Pulau Pinang.


