Kuantan, 29 September 2025 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan tahun 2025 dengan Bahagian Keselamatan Kebakaran bertindak sebagai urus setia. Majlis ini menjadi wadah memperkukuh ukhuwah antara warga jabatan di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan agenda kebombaan negeri.
Dalam ucapan perasmian, pihak pengurusan negeri merakamkan penghargaan kepada semua warga JBPM Pahang yang sentiasa komited melaksanakan tugasan dan program jabatan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Turut disentuh ialah kepentingan memperkukuh budaya keselamatan kebakaran melalui pendidikan, penguatkuasaan dan kejuruteraan, seiring dengan dasar serta inisiatif jabatan yang selari dengan hasrat kerajaan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Majlis kali ini turut diserikan dengan acara penyampaian Anugerah Perkhidmatan Terpuji (APT) kepada seramai 80 orang pegawai dan anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang, dedikasi serta komitmen tinggi dalam perkhidmatan. Penghargaan ini adalah pengiktirafan jabatan terhadap usaha mereka yang bukan sahaja meningkatkan kualiti kerja, malah menjadi teladan dan inspirasi kepada seluruh warga bomba untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan profesionalisme.
Selain itu, sambutan hari lahir turut diadakan bagi meraikan warga jabatan yang lahir dalam bulan Januari hingga September, sekali gus memeriahkan suasana majlis serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam organisasi.
Menariknya, majlis ini juga diisi dengan ceramah integriti oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang disampaikan kepada semua tetamu yang hadir. Pengisian ini memberi pencerahan mengenai nilai integriti, kepentingan menghindari gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah, serta peranan anggota perkhidmatan awam sebagai teladan masyarakat. Ceramah tersebut membuka ruang kesedaran bahawa penghayatan integriti bukan sahaja menyentuh aspek tugas, malah mencakupi kehidupan seharian dalam membina organisasi yang bersih, berdisiplin, dan berwibawa. Majlis diakhiri dengan harapan agar JBPM Pahang terus bergerak seiring dengan negeri-negeri lain dalam meningkatkan profesionalisme perkhidmatan kebombaan, di samping menjadi tonggak utama kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini






