Latihan Pemanduan Kenderaan Kecemasan Tingkat Profesionalisme Anggota BombaBatu Pahat,

BATU PAHAT, JOHOR 29 September 2025

Seramai 32 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Johor dan Negeri Sembilan berjaya menamatkan Kursus Asas Teknik Pemanduan Kenderaan Kecemasan Siri 1/2025 yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram, Batu Pahat, Johor pada 22 hingga 26 September lalu.
Kursus anjuran JBPM Negeri Johor dengan kerjasama JBPM Negeri Sembilan ini bertujuan memperkukuh kemahiran serta pengetahuan anggota dalam memandu kenderaan kecemasan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Menurut penyelaras kursus, PBT II Sarina Binti Sidek, pendedahan ini memberi fokus kepada modul penting termasuk aspek keselamatan dan undang-undang, pengurusan risiko, teknik pemanduan defensif, pemeriksaan kenderaan harian serta kemahiran teknikal ketika memandu dalam situasi mencabar seperti kelajuan tinggi, cuaca buruk dan trafik padat.
“Latihan ini amat penting kerana anggota bomba perlu mampu bertindak balas dengan pantas dan profesional dalam situasi kecemasan yang penuh tekanan. Kesilapan kecil boleh memberi kesan besar, justeru kemahiran pemanduan berhemah adalah satu keutamaan,” jelas beliau.
Seramai 26 peserta dari JBPM Johor dan 6 peserta dari JBPM Negeri Sembilan menyertai kursus ini. Mereka dibimbing oleh penceramah jemputan iaitu En. Omar Bin Yusof dari Batu Pahat serta Tn. Abd. Ghani Bin Sirat dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu Pahat.
Selain itu, kursus turut dikendalikan oleh empat fasilitator berpengalaman iaitu En. Omar Bin Yusof, PBK II Razali Bin Husein (BBP Pasir Gudang), PBK II Baharuddin Bin Ab Rahman (BBP Muar), dan PBK II Kassim Bin Hassan (BBP Penggaram).
Dengan tamatnya kursus ini, para peserta diharap dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam tugas harian, sekali gus meningkatkan tahap kecekapan operasi JBPM ketika menghadapi pelbagai insiden kecemasan di lapangan.

Malaysian Ministry of Health
Malaysian Fire and Rescue Department
MEDIA DIGITAL JOHOR
Mohd Jafni Md Shukor
Onn Hafiz Ghazi

en_USEnglish