JBPM COMMITTEE STRENGTHENING ASSETS PREPAREDNESS AND STRENGTHENING INTEGRITY

SERIAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak terus komited memperkasa kesiapsiagaan aset jabatan serta memperkukuh integriti pegawai melalui pematuhan etika perkhidmatan awam, sejajar dengan aspirasi kerajaan dan keperluan operasi masa kini.

Pengarah JBPM Sarawak Jamri Masran menegaskan bahawa semua pegawai jabatan perlu berhemah dalam membuat sebarang kenyataan awam khususnya di media sosial, selaras dengan arahan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia (KPPA) bertarikh 19 Jun 2025.

Katanya, larangan tersebut selaras dengan Subperaturan 19(1) dan 19(2) di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) P.U. (A) 395/1993.

“Pegawai dilarang membuat kenyataan tidak sahih, berunsur provokasi, fitnah, atau hasutan, yang boleh mencemarkan imej jabatan dan kerajaan,” jelas beliau ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Sarawak di Balai Bomba dan Penyelamat Serian, hari ini.

Beliau menekankan bahawa media sosial merupakan saluran penting untuk penyaluran maklumat secara pantas dan berkesan, namun perlu digunakan secara bijaksana demi menjaga ketelusan serta kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Dalam perkembangan lain, Jamri turut mengumumkan bahawa JBPM Sarawak telah menerima peruntukan khas berjumlah RM1.49 juta bagi separuh pertama tahun ini di bawah Vot Pembangunan P43, khusus bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan bomba.

“Peningkatan daripada RM1.1 juta tahun lalu kepada RM1.49 juta tahun ini adalah hasil pengurusan perbelanjaan yang cekap dan prestasi pelaksanaan yang cemerlang,” ujar beliau.

Peruntukan itu melibatkan penyelenggaraan jentera bomba, kenderaan khas, utiliti dan marin yang menjadi tulang belakang operasi penyelamatan dan pemadaman kebakaran di seluruh negeri.

Jamri menambah, kesiapsiagaan aset adalah faktor kritikal dalam memastikan respons pantas dan cekap terhadap sebarang insiden kecemasan.

Pada majlis yang sama, Bomba Sarawak turut menerima tiga unit jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang akan ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, BBP Sungai Merah dan BBP Tabuan Jaya.

“CFRT ini amat sesuai untuk kawasan sempit dan berbukit yang sebelum ini menjadi cabaran kepada anggota bomba untuk sampai ke lokasi kebakaran dalam masa yang singkat,” kata Jamri.

Dengan penyerahan ini, jumlah keseluruhan CFRT di Sarawak kini meningkat kepada enam buah selepas tiga unit pertama diserahkan tahun lalu kepada BBP Siburan, BBP Lopeng dan BBP Kapit.

Sebagai langkah memperkukuh pengurusan aset, Program Minggu Servis Siri 2/2025 turut dilancarkan dalam majlis tersebut.

Program itu akan dilaksanakan oleh Seksyen Kejuruteraan Jentera JBPM Sarawak bermula Julai ini, merangkumi servis kenderaan bomba di seluruh negeri dalam tiga siri tahunan.

Pelancaran turut disempurnakan dengan simbolik penyerahan peralatan mekanik kepada pasukan teknikal jabatan.

Sementara itu, JBPM Sarawak turut memberikan penghargaan kepada SK St Alban Duras atas penyertaan dalam program Pasukan Bomba Junior dan Pegawai Bomba Sarina Salleh dari BBP Samarahan yang berjaya membantu pasukannya muncul johan dalam Pertandingan Tenpin Boling MAKSAK Sarawak 2025 di Miri pada 2 Mei lalu.

Mengakhiri ucapannya, Jamri menyeru agar seluruh warga bomba Sarawak terus menjalankan tugas dengan disiplin, keberanian dan integriti, serta mengekalkan prestasi cemerlang sebagai agensi yang dipercayai rakyat.

“Saya yakin, dengan semangat juang yang tinggi dan kerjasama erat semua pihak, Bomba Sarawak akan terus menjadi contoh teladan dan kebanggaan negara,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Awal Muharam 1447 Hijrah kepada semua warga JBPM dan berharap ia menjadi permulaan kepada penghijrahan ke arah kehidupan dan perkhidmatan yang lebih bermakna.

https://www.utusanborneo.com.my/2025/06/26/jbpm-komited-perkasa-kesiapsiagaan-aset-dan-perkukuh-integriti?fbclid=IwY2xjawLql5JleHRuA2FlbQIxMQABHh5KDeGOWnnjSaQ8ySQj_4d9pFSRaJtgbmvZzbB8mRM5xcgcWbVuT4S7O0qy_aem_Dq1eQvOi9UN-jpwbOEhxVg

en_USEnglish