Oleh Zuhainy Zulkiffli – November 9, 2022 @ 7:52am
bhnews@bh.com.my
GEORGETOWN: Seramai 27 penghuni Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang di Jalan Scotland, di sini, yang terselamat dalam kejadian bumbung runtuh sudah dipindahkan sementara ke Wisma Yatim Laki-Laki Islam Pulau Pinang, Air Itam.
Tiga mangsa yang cedera, Nur Jannah Motaleb, 8, Nur Batrisya Balqis Mohd Raffei, 10, dan Siti Syahirah Zulkipli, 13, kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata
semua penghuni yang terselamat dibawa ke Air Itam dengan menaiki kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang.
Katanya, sembilan daripada penghuni menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
“Mangsa berusia lapan tahun cedera, manakala mangsa berusia 10 tahun mengalami sakit leher dan seorang lagi berusia 13 tahun mengadu sakit pada bahagian belakang.
“Semua mereka mungkin akan menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kecederaan dalaman,” katanya ketika ditemui di lokasi malam tadi.
Soffian berkata, siasatan awal mendapati runtuhan itu membabitkan struktur bumbung di bahagian tempat tidur asrama itu.
“Pada waktu kejadian hanya ada tiga mangsa sedang berehat, manakala yang lain sedang mengikuti kelas tuisyen dan mengambil makanan.
“Ketika pihak bomba dan polis tiba semua mangsa sudah diselamatkan oleh warden dan penghuni lain sebelum tiga yang cedera dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans,” katanya,
Terdahulu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Jamil Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.42 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Ketika di lokasi didapati kejadian membabitkan runtuhan bumbung bangunan asrama berkenaan. Terdapat seramai 30 mangsa dan berjaya diselamatkan oleh kakitangan asrama, manakala mangsa yang cedera sudah diberi rawatan awal,” katanya.
kredit sumber : BH ONline