NIBONG TEBAL: Kaedah pemadaman dari udara atau pengeboman air akan dijalankan bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini, hari ini.
Operasi itu akan dijalankan lapan anggota dengan menggunakan dua helikopter dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan Unit Udara JBPM Pulau Pinang.
Menurut satu kenyataan, proses pemadaman akan dibuat di lokasi titik panas berdasarkan termal imej yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Justeru, semua agensi atau penduduk diminta tidak membuat sebarang penerbangan dron ketika unit udara bomba melakukan penerbangan dan operasi pemadaman.
Dalam perkembangan berkaitan, 10 keluarga membabitkan 44 individu kini berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Ahad lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, berkata berdasarkan laporan yang diterima lapan keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala dua keluarga berada di SK Bakap Indah.
“Jumlah keseluruhan penduduk yang berada di kedua-dua PPS adalah 44 individu dan tiada pertambahan setakat jam 8 pagi tadi.
“Keadaan di kedua-dua PPS juga dilaporkan dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan dua PPS dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dekat situ sehingga keadaan pulih.
Ia selepas tapak pelupusan sampah itu dilaporkan terbakar dengan keluasan 6.5 hektar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu minggu lalu dan ia masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya yang kini sudah memasuki hari kelapan.
Mesyuarat bencana daerah memaklumkan bahawa Indeks Udara berada pada tahap kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.
Nur Izzati Mohamad – Januari 19, 2022 @ 10:22am
bhnews@bh.com.my
kredit sumber : BH online