Melaka tuan rumah sambutan Hari Bomba Sedunia 2023 1

Melaka tuan rumah Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 peringkat kebangsaan

MELAKA: Melaka dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir di sini, Ahad ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Abu Bakar Katain berkata pelbagai program dan aktiviti diadakan sempena sambutan itu di beberapa lokasi sekitar negeri ini bermula Khamis hingga Ahad ini.

“Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 adalah satu daripada pengiktirafan masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia terhadap kerjasama, komitmen dan pengorbanan anggota bomba dalam menangani situasi kecemasan, bencana dan sebagainya.

“Majlis sambutan berkenaan dijadual dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada 9 pagi, 14 Mei (Ahad) dan dijangka dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, barisan kepimpinan serta pengurusan tertinggi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan JBPM,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata majlis perasmian akan melibatkan perbarisan kawalan kehormat bomba, perarakan kontinjen perbarisan melibatkan 2,000 anggota daripada pelbagai unit JBPM, perarakan 75 pelbagai jentera bomba bersama penampilan khas ‘abang sado’, persembahan kebombaan deklamasi sajak serta gimik perasmian dan penampilan pesawat udara (helikopter).

Katanya persembahan ‘busker’ daripada JBPM Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur akan turut diadakan di Dataran Pahlawan di sini pada Sabtu malam.

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar berkata JBPM Melaka menerima 327 panggilan berkaitan kebakaran terbuka di negeri itu sejak Januari hingga April tahun ini.Beliau berkata antara kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kebakaran terbuka ialah Tangga Batu dan Ayer Keroh di daerah Melaka Tengah manakala Masjid Tanah di daerah Alor Gajah.

Beliau berkata JBPM Melaka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Alam Sekitar untuk memantau situasi terkini cuaca panas di negeri itu dalam usaha mengekang pembakaran terbuka.

“Rondaan oleh anggota balai bomba di seluruh Melaka juga akan dipertingkat khususnya di kawasan ‘hotspot’ kebakaran terbuka dan kita juga telah mengarahkan pasukan bomba sukarela di enam cawangan dan bomba komuniti untuk sentiasa bersiap siaga membantu anggota tetap JBPM sekiranya diperlukan,” katanya.

Menurut Abu Bakar JBPM Melaka juga menerima peruntukan berjumlah RM2.4 juta bagi menaik taraf fasiliti di beberapa balai di negeri itu khususnya yang berusia lebih 50 tahun termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan BPP Merlimau dan kerja menaik taraf berkenaan akan dilakukan secara berperingkat.

Sumber Berita : Astro Awani

English EN Malay MS
Skip to content