27.9.2024: Bersempena dengan bulan September dan masih meraikan Sambutan Hari Malaysia yang bertemakan “Malaysia MADANI : Jiwa Merdeka”, Bahagian Pengurusan, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengambil kesempatan dengan menganjurkan Perhimpunan Bulanan yang disempurnakan oleh YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah JBPM pada pagi ini.
Dalam majlis tersebut turut diadakan penyerahan surat penghargaan oleh Ketua Pengarah kepada pegawai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Zaid Ibrahim & Co. atas sokongan dan bantuan dalam proses jabatan untuk meminda Akta Perkhidmatan Bomba 1988 bagi memenuhi kepentingan bersama.
Pasukan Ragbi Ibu Pejabat (Bomba Rugby Club Dominator) yang baru sahaja memenangi kejuaraan dalam Kejohanan Ragbi Sibu Memorial International 10’s bagi kategori Cup telah dijemput bagi menyerahkan piala Kejohanan kepada Ketua Pengarah.
Tahniah diucapkan atas kejayaan.Manakala, pasukan Bola Tampar Bomba Putrajaya yang telah melakar kejayaan dengan menjadi Johan dalam Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) turut diraikan oleh Ketua Pengarah dalam majlis tersebut.
Ketua Pengarah turut berkesempatan menyampaikan hadiah Pertandingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) peringkat Ibu Pejabat yang dimenangi oleh Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat bagi Zon Dengan Kawasan Persekitaran dan Bahagian Penyiasatan Kebakaran bagi Zon Tanpa Kawasan Persekitaran.
Selain itu, penyampaian hadiah kemenangan bagi program dan pertandingan anjuran Bahagian Pengurusan turut disampaikan oleh Ketua Pengarah.
Pada hari ini juga, Cawangan Pengurusan Sumber Manusia (CPSM), Bahagian Pengurusan telah mengambil kesempatan dengan mengadakan Hari Terbuka bersama CPSM dengan pengisian seperti taklimat, jualan dan pameran daripada agensi-agensi luar.