25.8.2024: Seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun dilaporkan telah tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah rumah di Felda Nitar, Mersing, Johor.
Kejadian itu dilaporkan kepada JBPM Negeri Johor pada jam 12.05 tengah hari sebelum pasukan Bomba daripada BBP Mersing seramai 9 anggota digerakkan ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT dan kenderaan utiliti sebaik dihubungi.
PBK II Mohamed Zainuddin bin Ahmad selaku Komander Operasi melaporkan, sebaik tiba di lokasi, pasukan Bomba telah bertindak dengan membawa turun mangsa dari atas bumbung dengan menggunakan tangga dan pengusung.
Namun, hasil pemeriksaan petugas perubatan KKM mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.