Korban kedua banjir ditemui lemas dalam rumah
Oleh Samadi Ahmad – Disember 20, 2021 @ 11:57am
bhnews@bh.com.my
DENGKIL: Seorang lelaki ditemui lemas selepas rumahnya di Blok C, tingkat bawah Flat Taman Pertama di sini, dinaiki air akibat banjir pagi tadi.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Shafizol Mohd Nor, berkata kejadian itu menjadikan kes kedua korban akibat banjir di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 7.50 pagi, sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan terapung di tingkat bawah blok berkenaan.
“Anggota bomba tiba di tempat kejadian jam 8.10 pagi dan kawasan itu masih dinaiki air.
“Sebaik tiba, anggota membantu mengangkat mayat mangsa yang dikenali V Kaniappan berusia 52 tahun,” katanya.
Shafizol berkata, ketika kerja menyelamat dilakukan paras air setinggi dua meter, namun operasi dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan terkorban apabila dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melalui premis perniagaan di Taman Deluxe di sini.
kredit sumber : BHOnline