HULU LANGAT: Tiga pengunjung yang melakukan aktiviti mendaki di Air Terjun Sungai Gabai di sini, terperangkap dalam kejadian kepala air hari ini. Kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang, namun ketiga-tiga mangsa bernasib baik kerana kejadian kepala air cepat berlalu dan paras air juga surut dengan pantas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, mengesahkan kejadian itu dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Tiga lelaki berusia lingkungan 20-an itu melakukan aktiviti mendaki dan terperangkap di atas bukit dengan anggaran ketinggian 50 meter akibat berlaku kepala air di kawasan itu.
“Ketika anggota bomba tiba di lokasi jam 6.06 petang, air sudah surut dan semua mangsa tidak mengalami kecederaan.
“Anggota kemudian membantu membawa mereka turun ke kaki bukit dengan selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi – Ogos 14, 2022 @ 9:52pm
bhnews@bh.com.my
kredit sumber : BHonline