Menjunjung kasih setinggi-tingginya kehadapan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara, Tronoh, Perak.
Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika berucap memaklumkan bahawa antara fokus kementerian merangkumi keperluan bagi penambahbaikan infrastruktur kebombaan termasuk pusat-pusat latihan atau akademi bomba dan penyelamat.
ABPM Wilayah Utara dibina di atas tanah berkeluasan 111 ekar lengkap dengan blok pentadbiran, bilik kuliah, padang kawad, garaj kenderaan, blok asrama, dewan makan serta surau dengan kos pembinaan keseluruhan berjumlah RM40 juta dan siap dibina pada tahun 2014 dan telah beroperasi sepenuhnya dengan kekuatan kakitangan seramai 50 orang pegawai diketuai seorang Komandan.
Kini, ABPM Wilayah Utara dilengkapi fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), Rel Keretapi dan Simulator Gas Spill.
Akademi ini turut menawarkan latihan penyelamatan di air seperti kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dengan memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada di sini.
Turut berangkat bercemar duli ke majlis perasmian hari ini adalah Duli Yang Amat Mulia, Raja Dihilir Perak Darul Ridzuan dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak Darul Ridzuan.
Turut hadir YBhg. Datuk Wira M. Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha KPKT dan YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.