Oleh NOR AINNA HAMZAH
5 November 2022, 6:56 pm
REMBAU: Anggota bomba berjaya menyelamatkan dua orang pendaki yang cedera di atas Gunung Datuk di sini, petang tadi.
Mangsa yang kedua-duanya wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu mengalami kecederaan pada lutut yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan turun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Moktar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 4 petang sebelum sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa pertama ditemukan pada ketinggian 200 meter dan mangsa kedua pula pada ketinggian 300 meter. Kedua-duanya cedera di lutut.
“Anggota memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa mereka turun ke kaki bukit. Operasi menyelamatkan kedua-dua mangsa telah selamat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN
Kredit Sumber : BH Online