Bomba selamatkan 2 pemuda terperangkap ketika alih kereta
SHAH ALAM: Dua pemuda nyaris lemas apabila terperangkap dalam banjir di parkir bawah tanah sebuah hotel di Seksyen 13 di sini ketika hendak mengalihkan kenderaan petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata orang awam menahan jenteranya yang kebetulan melalui kawasan itu dan memaklumkan kejadian itu dan terus melancarkan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati dua mangsa di ruang parkir bawah tanah hotel berkenaan untuk mengalihkan kenderaan yang ditenggelami air.
“Ketika itu, air berada di paras tangga dan mangsa, dua lelaki berumur lingkungan 30-an itu dipercayai hendak naik untuk menyelamatkan diri.
“Kemudian anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa sebelum paras air naik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, ketika operasi menyelamatkan mangsa dijalankan jentera bomba juga tersangkut di lokasi banjir berkenaan.