Bomba pantau 28 kawasan hot spot kebakaran di Pulau Pinang

Bomba pantau 28 kawasan ‘hot spot’ kebakaran di Pulau Pinang

KEPALA BATAS: Semua kawasan berisiko terdedah kebakaran di Pulau Pinang sedang dipantau rapi Jabatan Bomba dan Penyelamat ( JBPM) Pulau Pinang bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang musim panas dan kering ketika ini.
Pengarahnya, Saadon Moktar berkata, bomba mengenal pasti sekurang-kurangnya 28 kawasan titik panas (hotspot) yang berisiko mengalami kebakaran . Ia termasuk kawasan hutan, tapak pelupusan sampah, tanah perkuburan Cina, dan sebagainya.
“Jabatan bomba telah membuat persediaan kami telah mengenalpasti beberapa ‘hotspot’ yang kerap kali berlaku pembakaran terbuka.
“Jadi di sini saya menasihatkan orang awam jangan mengambil kesempatan membuat pembakaran sampah secara terbuka kerana dengan cuaca panas keadaan angin kuat ia boleh cepat perebakan kepada yang lebih besar kepada sampah yang dibakar,” katanya.
Saadon berkata, berdasarkan statistik dari awal tahun sehingga ke hari ini, sebanyak 724 kes kebakaran telah direkodkan di negeri itu.
Selain itu, pihaknya juga merekodkan 216 kes kebakaran pada musim perayaan sepanjang tahun lepas berbanding 157 kes pada tahun 2021.
Saadon berkata, JBPM negeri juga telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dari segi keanggotaan dan logistik sebagai persediaan menghadapi kebakaran ketika berhadapan musim cuaca panas.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko kebakaran di rumah kediaman menjelang perayaan Aidilfitri, Saadon berkata JBPM akan memberi penumpuan khusus terhadap kempen kesedaran keselamatan kebakaran di rumah.
“Penumpuan JBPM kali ini dari segi kesalamatan kebakaran di rumah, semasa persiapan hari raya ramai terlibat dengan aktiviti memasak jadi saya nasihatkan mereka supaya lebih berhati-hati dalam mengadakan aktiviti memasak.
“Apabila balik kampung pastikan punca elektrik ditutup dengan selamat, ini salah satu punca kebakaran yang kita telah kenal pasti,” jelasnya lagi.
Kempen itu juga bagi memberi kesedaran kepada orang awam selepas berlalu insiden kebakaran yang mengorbankan tiga individu yang terperangkap dalam kebakaran di dalam rumah mereka baru-baru ini.
Saadon berkata demikian ketika ditemui media selepas pelanacaran kempen keselamatan dan Pencegahan Kebakaran Peringkat JBPM Pulau Pinang sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2023 di sebuah pasaraya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
English EN Malay MS
Skip to content