30.5.2024: Pada jam 10.40 pagi, Pasukan Bomba Bantuan (PBB) MOSAR menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk bantuan membawa turun seorang pendaki di KM 5.8, Gunung Kinabalu, Ranau, Sabah.
Bertindak atas maklumat, 10 anggota Bomba diketuai oleh PBB Mauries Ubin selaku Komander Operasi telah digerakkan menuju ke lokasi mangsa dengan membawa peralatan menyelamat bersama 2 orang petugas Sabah Park dan seorang Malim Gunung sebaik dihubungi.
Pendaki tersebut seorang wanita rakyat tempatan berusia 38 tahun dengan berat badan 80 kg telah mengalami kecederaan di bahagian buku lali akibat terseliuh dan merasa hendak pitam di km 5.8 tidak jauh dari Laban Rata.
Pendaki wanita itu juga tidak dapat meneruskan perjalanannya.
Pasukan Bomba telah bertindak dengan memberikan perawatan awal kepada mangsa sebelum mengusung mangsa menggunakan Robinson Stretcher untuk di bawa turun menuju ke Pintu Timpohon.
Sebaik tiba di Pintu Timpohon, mangsa telah dihantar ke Hospital Ranau dengan menaiki kenderaan Unit EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut.