Bomba guna FDRS pantau pembakaran terbuka di seluruh negara

Bomba guna FDRS pantau pembakaran terbuka di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan Fire Danger Rating System (FDRS) bagi memantau kawasan titik panas di seluruh negara semasa musim panas dan kering ketika ini.

Pegawai Pusat Pengurusan Operasi Ibu Pejabat JBPM Yusri Basri berkata sistem pemantauan kebakaran hutan atau tumbuh-tumbuhan itu mempunyai keupayaan untuk menyediakan maklumat dan membantu dalam menyokong pengurusan kebakaran di negara ini.

“Sistem FDRS berupaya meramalkan keadaan kebakaran dengan objektif membantu membuat keputusan dalam pengurangan kebakaran dan pencemaran jerebu,” katanya dalam temu bual dengan stesen radio berbahasa Inggeris di sini hari ini.

Yusri berkata jabatan itu turut memantau suhu dan keadaan cuaca di seluruh negara setiap masa menerusi pusat pengurusan operasi JBPM di Putrajaya.

Sementara itu, Yusri berkata musim panas tahun ini berbeza kerana ketiadaan jerebu dan menasihati orang ramai untuk mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu dan pencemaran udara.

Pada Selasa lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan Monsun Barat Daya diramalkan bermula pada 15 Mei dan akan berterusan hingga September ini yang menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Semasa musim itu, fenomena jerebu mungkin berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal, terutamanya dari Julai hingga September.

Sumber Berita : Astro Awani

English EN Malay MS
Skip to content