YB Tuan Nga Kor Ming (Abang Kor Ming) Menteri KPKT mencipta sejarah menjadi Menteri KPKT pertama yang singgah sahur bersama anggota bomba yang bertugas sempena bulan Ramadan.
Program Singgah Sahur ini telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur awal pagi tadi dan telah menyantuni 108 orang anggota bomba yang bertugas. Turut hadir bersama dalam program ini ialah YAS. Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau turut bersama-sama anggota bomba bagi penyediaan juadah sahur memasak telur dadar, kari kambing, roti arab dan membancuh teh tarik seterusnya bersahur bersama mereka.
Program Singgah Sahur ini bertujuan untuk menyantuni dan menghargai anggota bomba yang bertugas sepanjang Ramadan. Ia juga merupakan satu penghargaan dan solidariti Kerajaan MADANI bersama pasukan Wira Merah di seluruh negara yang sentiasa bersiap sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira waktu.
Abang Kor Ming turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota bomba dan ahli pasukan bomba sukarela yang setia berkhidmat sepanjang masa khususnya menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. Beliau turut menekankan kepentingan sokongan kerajaan dalam memperkasakan keupayaan JBPM melalui penyediaan kelengkapan moden, latihan berkualiti serta kebajikan anggota bomba.
Kehadiran YB Menteri memberikan suntikan semangat kepada para anggota yang komited dalam menjalankan tugas menyelamat dan membantu masyarakat, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.








