Oleh Amirul Aiman Hamsuddin – November 9, 2022 @ 7:54pm
bhnews@bh.com.my
KUALA SELANGOR: Seramai 29,000 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara termasuk aset sudah bersiap sedia berdepan banjir, terutamanya ketika ketika musim monsun timur laut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata kesiapsiagaan itu dimulakan lebih awal selepas pihaknya meneliti semua kebarangkalian dalam semua aspek, termasuk laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, dari segi penugasan, pegawai dan anggota JBPM dipanjangkan dari 12 jam ke 24 jam untuk memastikan kesiapsiagaan pasukan penyelamat itu berada pada tahap tinggi.
“Anggota bomba dan aset telah digerak atur dan sentiasa bersedia membantu, khususnya dalam keadaan kecemasan.
“Persiapan ini bukan sahaja membabitkan JBPM, malah turut dibantu bomba bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Kenduri Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Bukit Cherakah, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.
Pada masa sama, Reezal Merican, berkata cuti anggota dan pegawai bomba di seluruh negara dibekukan dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
Beliau berkata, Pasukan Gerak Cepat (Red Team) juga digerakkan memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan secara lebih efisyen.
“Tumpuan turut diberi dari aspek logistik iaitu aset kenderaan dan jentera pelbagai fungsi termasuk di darat, air dan udara berada dalam keadaan baik dan bersedia digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.
“Aset terbabit juga sudah digerakkan ke beberapa kawasan berisiko tinggi dengan lebih awal. Kita juga mendapat tambahan jentera dan bot bagi perolehan darurat yang secara tidak langsung dapat membantu kesiapsiagaan semasa bencana,” katanya.
Beliau berkata, kejadian banjir tahun lalu memberi pengajaran dan pengalaman kepada JBPM terutama banjir membabitkan kawasan perumahan sempit.
“Kadang-kadang semasa operasi menyelamat dilakukan, ada kereta yang diparkir di tempat banjir hingga menyebabkan bot penyelamat melanggar kenderaan milik penduduk.
“Untuk itu, beberapa penambahan teknologi turut digunakan bagi membantu mangsa banjir antaranya penggunaan
pelampung menyelamat kawalan jauh,” katanya.
kredit sumber : Berita harian Online