SALURAN ADUAN SALAH LAKU JENAYAH RASUAH DAN TATATERTIB
1 . Apa itu jenayah rasuah?
Apa-apa penerimaan atau pemberian suapan sebagai dorongan atau upah untuk seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, harta, bonus, diskaun, komisen, jawatan, kontrak pekerjaan, perkhidmatan dan lain-lain tafsiran di bawah seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).
2. Kesalahan rasuah Kesalahan rasuah dibawah Akta SPRM 2009
i. Seksyen 16(a)- mana-mana orang secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain apa-apa suapan.
ii. Seksyen 16(b)- mana-mana orang secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang apa-apa suapan.
iii. Seksyen 17(a)- sebagai seorang ejen secara rasuah menerima atau memperoleh apa-apa suapan iv. Seksyen 17(b) – memberikan atau menawarkan suapan kepada mana-mana ejen.
iv. Seksyen 18 – mengemukakan apa-apa resit, akaun atau dokumen yang mengandungi pernyataan palsu.
v. Seksyen 23 (1)- pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan Sekiranya disabitkan kesalahan, seksyen 24 Akta yang sama memperuntukan hukuman penjara tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
3. Kewajipan untuk melapor transaksi penyogokan rasuah
i. Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 menyatakan bahawa mana-mana orang yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar peruntukan Akta tersebut hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran itu. Kegagalan mematuhi seksyen ini merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 25(2) Akta yang sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
ii. Seksyen 25(3) Akta SPRM 2009 menyatakan mana-mana orang yang daripadanya suapan telah diminta atau diperoleh atau percubaan dibuat untuk memperoleh suapan hendaklah seawal mungkin melaporkan perkara tersebut. Kegagalan mematuhi seksyen ini merupakan satu kesalahan dibawah seksyen 25(4) Akta yang sama dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
iii. Komitmen kepada Polisi Whistle Blowing JBPM di bawah Anti Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001:2016.
4. Perlindungan pemberi maklumat
i. Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidk boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.
ii. Pemberi maklumat boleh diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009
5. Apa itu salah laku tatatertib?
Apa-apa perbuatan salah laku selain daripada jenayah:
i. Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturan lain atau pekeliling yang berkuatkuasa;
ii. Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan semasa menjalankan tugas terhadap peruntukan undang-undang, ketetapan prosedur kerja, peraturan atau pekeliling lain yang berkuatkuasa;
iii. Cuai iaitu apa-apa kelalaian semasa melaksanakan pekerjaan, tugasan atau arahan rasmi yang dipertanggungjawabkan.
6. Bagaimana menyalurkan aduan?
Orang awam termasuk pihak pembekal, pihak kontraktor atau pihak berkepentingan yang berurusan dengan JBPM boleh mengemukakan aduan mengenai jenayah rasuah atau salah laku tatatertib kepada Unit Integriti dengan cara:
i. Menghadirkan diri ke Unit Integriti (UIN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di alamat;
Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),
Unit Integriti, Aras 2,
Lebuh Wawasan, Presint 7,
62250 Putrajaya.
ii. Mengemukakan aduan ke alamat seperti di atas;
iii. Menggunakan saluran eAduan Integriti di www.bomba.gov.my atau Layari eAduan Integriti
iv. Mengemukakan emel ke integriti@bomba.gov.my; atau
v. Menghubungi talian 03-88927600 samb. 7620 dan 7778 @ faksimili 03-88880829
Carta Organisasi Jawatankuasa | Dasar Integriti & Polisi Anti Rasuah | Carta Perbatuan | Poster | Soalan Lazim | Lapor Salah Laku |