
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata, pembangunan dalam memastikan keselesaan penduduk tidak hanya terletak sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya memerlukan penglibatan rakyat.
Kata beliau, rakyat termasuk di kawasan luar bandar perlu memberi kerjasama dalam menjayakan sebarang agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.
“Kerajaan mempunyai perancangan untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih baik untuk Lawas.
“Oleh itu, kemajuan itu tidak akan tercapai jika kerajaan sahaja yang berusaha malah rakyat kita harus bersama berganding bahu untuk kita mencapai cita-cita dan hasrat kita bersama,” katanya pada perasmian Bomba Komuniti Kawasan Merapok Tahun 2024 hari ini.
Turut sama ialah Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, Azman Ibrahim.
Kata Henry Sum lagi, pembangunan yang diusahakan Kerajaan Sarawak hanya mampu dicapai melalui perpaduan dan kesepakatan rakyat berbilang kaum.
“Semangat perpaduan di Sarawak perlu terus disemai untuk dipanjangkan oleh generasi muda yang akan mewarisi negeri Sarawak,” jelas beliau.- TVS.