Bagaimanakah cara untuk mengadakan ceramah perlindungan kebakaran kepada masyarakat.
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa berusaha dan berharap setiap warga masyarakat tahu tentang pencegahan dan keselamatan kebakaran khususnya dirumah dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran keselamatan kebakaran.
- Masyarakat setempat boleh memohon Jabatan bomba dan penyelamat Malaysia untuk mengadakan ceramah tentang kaedah pencegahan dan keselamatan kebakaran dirumah melalui kesatuan penduduk atau wakil penduduk dengan cara memohon kepada Ketua Balai Bomba yang paling hampir dengan penempatan. Ceramah yang disampaikan tidak dikenakan bayaran.
Bagaimanakah pemunya/penghuni/mangsa bagi premis/kenderaan yang terlibat dalam insiden kebakaran yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia boleh mendapatkan Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1)?
Pemunya/penghuni/mangsa bagi premis/kenderaan yang terlibat dalam insiden kebakaran yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia boleh mendapatkan Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) setelah mengemukakan Salinan Laporan Kebakaran dan Kecemasan (SLKK) dari Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat di negeri-negeri.
Adakah mana-mana syarikat insuran dan pihak peguam boleh mendapatkan salinan Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia?
Tidak. Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) hanya boleh diberikan kepada pemunya/penghuni/mangsa bagi premis/kenderaan yang terlibat dalam insiden kebakaran.
Berapa lamakah tempoh masa yang diambil bagi sesuatu Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) dikeluarkan?
Laporan Mengenai Punca Kebakaran (LPK 1) akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh siasatan kebakaran dimulakan.
Adakah saksi yang enggan hadir memberi pernyataan lisan menjadi suatu kesalahan?
Ya. Saksi yang gagal hadir memberikan pernyataan lisan atau mengemukakan maklumat berhubung dengan kebakaran adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 18A Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341). Sekiranya disabitkan kesalahan individu tersebut boleh dikenakan denda satu ribu ringgit (RM1000.00)
Bagaimanakah cara untuk membuat pembayaran kompaun?
Pembayaran kompaun boleh dibuat secara tunai atau menggunakan wang pos, cek atau bank deraf. Pembayaran secara tunai boleh dibuat di Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), JBPM negeri-negeri atau zon. Manakala jika bayaran menggunakan wang pos, cek atau bank deraf hendaklah dialamatkan kepada Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Apakah tindakan pemunya premis sekiranya masih menyimpan tabung halon atau masih menggunapakai sistem pencegahan kebakaran menggunakan halon?
Penggunaan halon sebagai media pemadaman telah dilarang di Malaysia di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKTA 127), oleh itu Pemunya atau pemilik haruslah menggantikan sistem pencegahan tersebut dengan halon alternatif. Selain itu pemilik premis mestilah menghantar tabung lama halon untuk dikitar semula ke Pusat Perancangan dan Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK) Bandar Baru Enstek, Nilai, Negeri Sembilan dibawah seliaan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM.
Apakah fasiliti /kemudahan yang disediakan oleh Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK)?
Pihak Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK) mempunyai 2 buah Makmal Kebakaran, Makmal Kimia, Makmal Fabrik, Perpustakaan, Bank Halon Malaysia, Kafeteria, Bilik Seminar dan Bilik Transit.
Apakah instrumen penyelidikan yang terdapat di Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK)?
Instrumen penyelidikan yang terdapat di Pihak Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK) adalah Hydrostatic Test Facility, Room Corner Test, Dual Cone Caloriemeter, Halon Recycle Machine, Fire Resistance Test Furnace, Cardiopulmonary Exercise Training (CPET), Fire Suppression Room dan lain-lain instrumen.
Jenis-jenis pengujian yang boleh dilaksanakan di Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK)?
Pusat Penyelidikan kebombaan (PUSPEK) telah melaksanakan ujian seperti Ujian Fabrik, Ujian Fire Suppression for Clean Agent, Vacuum Test for Suction Hose, Hydrostatic test for Hose and Breathing Apparatus Cylinder, Heat Release Heat, Flash Point, Fire Point, Hydrogen Index Test, Cardiopulmonary Exercise Training.
Bagaimana cara permohonan bagi mengadakan taklimat dan demonstrasi produk/peralatan kebombaan.?
Semua permohonan hendaklah dihantar dengan menggunakan Surat rasmi syarikat/Agensi kepada YAS Ketua Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Malaysia.
Bahagian manakah yang akan melaksanakan koordinasi taklimat dan demontrasi produk/peralatan kebombaan?
Setelah permohonan syarikat diterima dan dipersetujui bagi diadakan taklimat dan demontrasi, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan akan membuat penilaian bagi kesesuaian produk yang berkenaan dan akan menghubungi pihak syarikat bagi menetapkan tarikh taklimat yang sesuai.
Dimanakah surat permohonan perlu dihantar?
Surat permohonan bagi melaksanakan taklimat dan demontrasi produk/peralatan hendak dihantar seperti berikut :-
YAS Ketua Pengarah
Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Malaysia
Ibu Pejabat
Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Malaysia
Lebuh Wawasan, Presint 7
62250 Putrajaya
Adakah Sijil Pepasangan Keselamatan Kebakaran perlu diperbaharui setiap tahun?
Ya, sijil tersebut perlu diperbaharui setiap tahun. Ini kerana sijil-sijil yang dikeluarkan mempunyai had tempoh sah maksimum selama 1 tahun sahaja.