69 balai bomba berusia lebih 50 tahun perlu dinaik taraf Nga

69 balai bomba berusia lebih 50 tahun perlu dinaik taraf – Nga

SEREMBAN: Sebanyak 69 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara berusia melebihi 50 tahun perlu dinaik taraf, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 11 balai masing-masing di Perak dan Johor, Selangor (10) dan Kedah (lapan), Pahang (tujuh), Pulau Pinang (tujuh), Sarawak (enam), Negeri Sembilan (lima), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu).

Katanya, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan cadangan menaik taraf balai berkenaan dapat dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan keupayaan kewangan semasa kerajaan.

“Daripada senarai itu, 15 balai bomba selesai dinaik taraf, dua balai sedang dalam kerja naik taraf dan sebuah balai dimasukkan dalam permohonan untuk dinaik taraf dalam Rolling Plan Ke-4 (RP4) Tahun 2024.

“Selain itu, Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Sarawak telah dibuat penggantian bangunan baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Balai Bomba dan Penyelamat Seremban berusia 63 tahun kembali beroperasi pada 21 Feb lepas setelah projek naik tarafnya diluluskan kerajaan pada 2020 dengan kos sebanyak RM6.12 juta.

Katanya setakat ini, sebanyak 20 balai bomba dan penyelamat terdapat di negeri ini dan sebuah lagi akan dibina pada tahun ini iaitu di Palong 6, di Jempol.

“Bagi menaik taraf dan menyelenggara semua balai bomba di negeri ini, peruntukan tambahan RM3 juta diluluskan, kerja-kerja akan dijalankan pada tahun ini,” katanya.

Nga hari ini turut mengadakan sesi lawatan ke Pasar Besar Seremban, Padang Lobak, Rumah Pangsa Jalan Tun Dr Ismail, Pasar Ampangan serta Kampung Baru Cina Mambau bagi meninjau kemudahan asas dan keperluan berkaitan bagi setiap lokasi berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 38 projek bernilai RM13 juta diluluskan di negeri ini antaranya menaik taraf dan penyelenggaraan balai-balai bomba; penyelenggaraan bangunan Pasar Besar Seremban, naik taraf Dataran Lobak dan kerja-kerja berkaitan.

“(Turut terlibat) penyelenggaraan Rumah Pangsa Tun Dr Ismail, penyelenggaraan Pasar Rasah Jaya, penyelenggaraan Bazaar Jalan Lee Sam dan penyelenggaraan Pangsapuri Taman Bahau Indah,” katanya.

Nga berkata peruntukan itu bagi menyediakan kemudahan yang selesa kepada masyarakat setempat serta merancakkan lagi ekonomi dalam usaha menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan 2030.

Dalam perkembangan lain, berhubung isu seorang Ahli Parlimen disyaki terlibat kecurian air daripada pili bomba, Nga berkata mana-mana individu yang mahu mengambil air daripada pili bomba perlu mendapat kebenaran secara bertulis.

“Hal ini sangat penting, apabila berlaku kebakaran, bomba akan mengalami kesukaran tekanan air, isi padu tidak mencukupi, akhirnya rakyat jadi mangsa.”Pada tahun lepas, kehilangan wang akibat daripada kebakaran melibatkan kerugian RM1.3 bilion.

Perkara ini cukup serius,” katanya.Nga turut menyeru pihak terlibat supaya membuat permohonan maaf kepada bomba sekiranya perkara itu benar berlaku.”Saya difahamkan, mengikut laporan media, Ahli Parlimen tersebut mengambil air itu dengan kebenaran bomba.

Tetapi dalam siasatan pihak bomba negeri mengesahkan tiada sebarang kebenaran,” katanyaMedia semalam melaporkan Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff menafikan dakwaan beliau mencuri air daripada pili bomba sebagaimana tular sejak Sabtu.

Siti Zailah melalui kenyataan di Facebooknya berkata bekalan itu merupakan saliran daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sudah mendapat kebenaran syarikat terbabit.

English EN Malay MS
Skip to content