2022 08 17 113852

11 kawasan perkelahan berisiko kepala air di Kelantan

Oleh Siti Rohana Idris – Ogos 16, 2022 @ 12:36pm
bhnews@bh.com.my BESUT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti 11 lokasi perkelahan yang berisiko untuk berlaku kejadian kepala air di negeri itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Wildan Azhari, berkata lokasi itu membabitkan lapan di Kuala Krai dan tiga di Jeli.

Beliau berkata, antara lokasi yang disenaraikan adalah Sungai Kenerong, Air Terjun Gunung Stong, Lata Berangin dan Lata Y di Kuala Krai manakala di Jeli pula, Lata Janggut serta Lata Renyut.

Katanya, sebagai persediaan, pasukannya mengambil pendekatan menjalankan kajian menyeluruh berkaitan kesemua 11 lokasi terbabit, terutama dari segi geografi.

“Kita tidak pasti di mana lokasi yang tepat berlaku kejadian kepala air dan sejauh mana impak kepada kejadian itu jika membabitkan satu-satu lokasi yang disenaraikan berisiko itu tetapi kami cuba kenal pasti laluan sungai utama di negeri ini.

“Orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti riadah di kawasan berisiko ini perlu berwaspada dengan keadaan cuaca dan merujuk kepada laporan cuaca harian yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi memastikan tidak terbabit dengan kejadian yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wildan berkata, tempoh awal tahun sehingga Julai ini merekodkan sebanyak 23 kes lemas dan angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu, 18 kes.

Katanya, tahap pengawasan perlu ditingkatkan, terutama di kawasan riadah yang disenaraikan berisiko kepada kejadian kepala air kerana selain menyumbang kepada kes lemas, ia juga mendatangkan bahaya disebabkan aliran air yang turut membawa balak serta sampah-sarap lain.

Terdahulu, beliau hadir di Pulau Perhentian di sini untuk meninjau Kursus Pengukuhan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kelantan yang berlangsung selama tiga hari, bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini.

Kursus yang disertai 30 anggota PPDA daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Pengkalan Chepa dan Machang itu dijalankan sebagai mengukuhkan lagi kemahiran menyelamat, terutama persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Turut dipamerkan, simulasi penyelamatan seorang anggota PPDA yang ditemukan ‘tidak sedarkan diri’ ketika menjalani latihan selaman dan insiden mendebarkan itu bagaimanapun berjaya ditangani dengan baik berbekalkan kaedah yang dipelajari.

Mohd Wildan berkata, selain meningkatkan kemahiran anggota, kursus tahunan itu juga adalah untuk menguji kelengkapan logistik agar dalam keadaan baik dan bersedia apabila keadaan memerlukan.

“Sepanjang tiga hari kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik berenang, menyelam dan kaedah menyelamat bagi memantapkan kemahiran mereka, terutama sebagai persediaan pada musim banjir,” katanya.

kredit sumber : BH Online

English EN Malay MS
Skip to content