Bilik persediaan anggota trafik Kepala Batas terbakar View Announcement in New Tab

KEPALA BATAS: Bilik persediaan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Jalan Kedah, di sini terbabit kebakaran awal pagi tadi.

Bagaimanapun, insiden jam 4.25 pagi itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kejadian disedari seorang anggota yang berada dalam bilik terbabit apabila terasa sesak nafas dan panas.

"Anggota itu yang nampak api marak bermula di bahagian tingkap terus bangun dan keluar sebelum memaklumkan kepada seorang lagi rakan setugasnya.

"Pihak bomba membabitkan 27 anggota termasuk bomba sukarela kemudian datang memadamkan kebakaran terbabit.

"Kebakaran membabitkan bilik persediaan (standby) anggota trafik yang beroperasi selama 24 jam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 5.20 pagi.

"Jumlah kerugian dan kerosakan masih belum dapat dipastikan.

"Pihak polis termasuk bomba sedang menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran dan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam insiden ini," katanya.

kredit sumber : BHarian Online

 

Published on 2021-06-10 12:35:04 Posted By Administrator