Bomba bantu kebumi jenazah pesakit Covid-19 obesiti View Announcement in New Tab

SUNGAI PETANI: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu membantu memindahkan jenazah pesakit Covid-19 yang mempunyai masalah obesiti di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki berusia 27 tahun yang mempunyai berat badan kira-kira 190 kilogram itu meninggal dunia di HSAH pada pukul 2.44 pagi selepas tiga hari bertarung nyawa di hospital tersebut.

Ketua BBP Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada pukul 3.37 petang.

Katanya, anggotanya tiba di HSAH pada pukul 4 petang untuk urusan mengambil jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam  Kampung Berapit, Tikam Batu di sini.

“Operasi melibatkan 11 anggota dari BBP Tikam Batu menggunakan sebuah lori dan tiga kenderaan utiliti serta turut diiringi kenderaan peronda polis dari hospital ke tanah perkuburan,” katanya di sini malam ini.

Tambahnya, sebuah jengkaut digunakan untuk mengangkat jenazah ketika proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 yang mempunyai masalah obesiti tersebut.

“Operasi pengebumian tersebut selesai sepenuhnya pada pukul 6.13 petang,” katanya. 

kredit sumber : utusan online

Published on 2021-06-04 09:48:33 Posted By Administrator