Bahan kimia kilang tumpah, penduduk alami pedih mata, sukar bernafas View Announcement in New Tab

SEREMBAN: “Penduduk bau sesuatu, ada yang sesak nafas ada yang pedih mata sebab bau tersebut,”.

Demikian jelas Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman D’Latania, Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmat selepas berlaku kejadian bahan kimia tumpah di sebuah kilang plastik di Senawang Industrial Park, Senawang dekat sini tengah hari tadi.


ZANIFOL NIZAM AHMAT
“Terdapat empat kawasan di taman perumahan ini yang mengalami pencemaran bau tersebut. Ada penduduk yang mengadu mereka pening dan muntah-muntah. 

“Saya juga dimaklumkan ada penduduk yang semput dan sesak nafas berikutan bau yang kurang menyenangkan ini,” katanya ketika ditemui pemberita dekat sini hari ini. 

Jelasnya, susulan kejadian tersebut yang turut menyebabkan pencemaran bau itu, pihaknya turut telah membuat laporan kepada polis.


MOHAMAD IDRIS
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian berlaku selepas cecair bahan kimia jenis ‘methyl methacrylate’ tumpah di dalam kilang tersebut.

Tumpahan bahan kimia itu dipercayai setelah kebocoran berlaku daripada tangki besar ke ‘IBC tank’ kerana kerosakan pada pam. 

“Pada peringkat awal, kami mendapati memang ada bau yang kurang menyenangkan dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) telah membuat pengesanan tanda kebocoran gas dalam kilang berkenaan. Dalam pemeriksaan kami, kami telah telah berlaku tumpahan bahan kimia itu ke longkang.

“Jumlah bahan yang tumpah masih belum dipastikan dan tumpahan bahan tersebut dipercayai daripada aktiviti pemindahan bahan kepada IBC tank dan berlaku kerosakan pada sistem pam motor sehingga  menyebabkan berlakunya tumpahan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan ketika ditemui memberitahu, cecair bahan kimia tersebut telah tumpah dan mengalir ke longkang berdekatan.

“Cecair yang tumpah itu telah mengalir sejauh tiga kilometer ke longkang awam. Bagaimanapun, pihak kilang telah maklumkan kepada bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat siasatan terperinci mengenai hal ini,” katanya lagi.


NAZRI MAT NOOR
Sementara itu, seorang lagi penduduk iaitu Setiausaha Masjid Kariah Bandar Senawang, Nazri Mat Noor, 50 berkata, dia menyedari kejadian itu ketika membuat agihan bantuan kepada asnaf di masjid kira-kira pukul 11 pagi tadi. 

“Saya terhidu bau yang kurang selesa seperti bau beracun dan kebanyakan jemaah yang hadir ke masjid juga kurang selesa. 

“Ada jemaah yang berusia batuk dan pedih mata. Saya dimaklumkan ada seorang jemaah telah dibawa ke hospital berikutan sesak nafas dengan bau tersebut,” katanya. –

kredit sumber : UTUSAN online

Published on 2021-05-24 14:32:11 Posted By Administrator