Guna Dron Bantu Padam Kebakaran Hutan View Announcement in New Tab

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri disaran berkolaborasi dengan agensi kerajaan atau pihak swasta bagi mendapatkan atau menyewa dron bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan dan tanah gambut berskala besar.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, inisiatif tersebut dapat membantu pihak bomba mengenal pasti keluasan kawasan kebakaran dan menentukan tindakan yang perlu dilakukan dengan lebih pantas.

"Pada masa ini penggunaan dron belum dikembangkan ke peringkat negeri dan hanya di peringkat Ibu Pejabat JBPM di bawah kendalian Unit Udara.

"Jika berlaku kebakaran hutan atau kemalangan berskala besar ketika ini, bomba negeri yang ingin mendapatkan perkhidmatan dron perlu mengemukakan permohonan kepada ibu pejabat dan anggota dari Unit Udara akan turun ke lokasi. Ini akan melambatkan proses untuk penggunaan dron tersebut.

"Sebaliknya, penggunaan dron menerusi kolaborasi atau sewaan dengan pihak lain, akan memudahkan dan mempercepatkan lagi operasi mengawal dan memadam kebakaran," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke JBPM Terengganu, hari ini

Sementara itu, Soiman berkata, berdasarkan statistik, terdapat 1,662 kes kebakaran direkodkan di Terengganu sepanjang tahun lalu membabitkan pelbagai jenis kebakaran termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut.

"Bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini pula, sebanyak 307 kes kebakaran dicatatkan di Terengganu," katanya.

Beliau turut memaklumkan terdapat 20 lokasi berisiko tinggi di negeri ini, yang boleh menyebabkan kebakaran besar berlaku. – BERNAMA

Published on 2021-03-17 11:12:21 Posted By Administrator