1,358 bomba terima suntikan vaksin COVID-19 View Announcement in New Tab

PUTRAJAYA:  5 Mac 2021 : Seramai 1,358 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terbabit secara langsung dengan operasi COVID-19 menerima suntikan vaksin sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata mereka adalah antara 7,483 anggota bomba di seluruh negara yang melaksanakan tugas-tugas barisan hadapan dan disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam fasa pertama program vaksinasi terbesar negara itu.

"Pemilihan pegawai yang menerima vaksin ini turut membabitkan mereka berisiko tinggi, mendapat dan menyebarkan jangkitan COVID-19 ketika melaksanakan tugas-tugas kebombaan," katanya kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18 di sini, hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin jenis Pfizer BioNTech di klinik itu hari ini adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan empat lagi anggota bomba.Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bertemakan 'Lindung Diri, Lindung Semua' dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin COVID-19 menjelang Februari 2022.

Beliau berkata pegawai bomba yang lain akan menerima vaksin dalam fasa yang seterusnya menerusi pendaftaran di aplikasi MySejahtera. Zuraida yang akan menerima suntikan dos kedua pada 26 Mac ini berkata beliau tidak berasa apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan dos pertama pada hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata anggota bomba masih lagi melaksanakan proses sanitasi di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19 dan sebanyak 17,963 proses sanitasi telah dilakukan sejak Mac tahun lalu. – BERNAMA

KREDIT SUMBER : UTUSAN ONLINE

Published on 2021-03-08 15:04:41 Posted By Administrator