116 pegawai, anggota bomba terjejas banjir terima bantuan View Announcement in New Tab


PUTRAJAYA: Jasa dan pengorbanan 116 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terjejas banjir di tujuh negeri tidak dilupakan apabila mereka menerima bantuan wang ehsan dan sumbangan bagi meringankan bebanan mereka.

Bantuan berjumlah keseluruhannya RM71,000 itu membabitkan wang ehsan daripada Persatuan Kebajikan JBPM dan kutipan Sumbangan Prihatin Mangsa Banjir Warga Bomba bermula pada 14 Januari lalu, dan masih lagi berterusan sehingga kini yang dilancarkan Unit Hal Ehwal Agama dan Kebajikan, Bahagian Pengurusan Korporat JBPM.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Muhammad Hamdan Wahid, berkata mesyuarat Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan JBPM bersetuju memberi bantuan khas sebanyak RM500 kepada ahli persatuan yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata, sumbangan melalui Unit Hal Ehwal Agama dan Kebajikan, Bahagian Pengurusan Korporat akan diagihkan kepada semua 116 pegawai dan anggota terjejas banjir dalam bentuk wang tunai mengikut tahap kerosakan dan kerugian yang dialami berdasarkan dua kategori iaitu kerugian dan kerosakan struktur rumah, perabot, alatan elektrik dan kenderaan berenjin yang akan menerima sebanyak RM650 dan anggota yang mengalami kerugian dan kerosakan yang minimum akibat banjir yang akan menerima RM500.

Katanya, sumbangan itu akan disalurkan melalui Persatuan Kebajikan, JBPM terus kepada pegawai-pegawai terbabit.

"Bagi 78 orang daripada keseluruhan pegawai dan anggota bomba terjejas banjir yang juga ahli Persatuan Kebajikan JBPM, mereka turut layak menerima faedah dan bantuan daripada persatuan.

"Mereka terdiri daripada 38 anggota di JBPM Pahang dengan jumlah bantuan RM35,000, empat di JBPM Terengganu (RM17,000); tujuh di JBPM Perak (RM6,000); empat di JBPM Kelantan (RM4,000); empat di JBPM Johor (RM3,000); empat di JBPM Sarawak (RM3,000); tiga di JBPM Sabah (RM2,000 dan seorang ahli di JBPM Selangor (RM1,000).

"Sumbangan ini adalah inisiatif JBPM melalui Persatuan Kebajikan dan Unit Hal Ehwal Agama dan Kebajikan, Bahagian Pengurusan Korporat bagi membantu meringankan beban pegawai dan anggota yang terjejas banjir di Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu seramai 10,355 atau 77 peratus daripada keseluruhan pegawai dan anggota menyertai persatuan kebajikan itu.

Katanya, penubuhan persatuan kebajikan itu bertujuan membantu menyalurkan bantuan kewangan kepada ahli atau tanggungan ahli apabila berhadapan kematian, sakit akibat kemalangan dan ditimpa bencana alam.

Selain itu, Hamdan berkata, kutipan Sumbangan Prihatin Mangsa Banjir Warga Bomba kini sebanyak RM82,682 hasil sumbangan badan korporat, syarikat dan individu.

"Sumbangan lain turut diterima membabitkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, minyak, susu, air mineral, lampin pakai buang, tuala wanita, baju dan peralatan persekolahan.

"JBPM turut menerima maklum balas daripada beberapa agensi seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Bank Islam dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) yang berhasrat untuk menyumbang kepada mangsa banjir," katanya.

KREDIT SUMBER : BH ONLINE

 

Published on 2021-02-17 12:24:36 Posted By Administrator