Balai bomba Penyelamat Presint 14, ke-2 di Putrajaya View Announcement in New Tab

PUTRAJAYA: Sebuah lagi Balai Bomba dan Penyelamat dibina di Presint 14, di sini iaitu balai kedua di pusat pentadbiran negara.

Memulakan operasi pada hari ini bertepatan dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, ia sekali gus mampu memberi respons pantas 100 peratus di bawah 10 minit kepada kawasan sekitar Putrajaya berbanding pencapaian 96.42 peratus pada tahun lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Putrajaya, balai ke-321 daripada keseluruhan balai di negara ini dibina dalam keluasan 1.3 hektar dan merupakan balai kategori C, dilengkapi dengan satu keluaran jentera dengan keanggotaan penuh seramai 29 orang.

“Balai ini akan memberi khidmat kebombaan kepada kawasan sekitar merangkumi Presint 1, Presint 12, Presint 13, Presint 14, Presint 15, Presint 16 dan Presint 17 sebagai kawasan jagaan (station ground area) melibatkan 22 kilometer persegi dan menjangkaui kawasan Bangi dan Kajang, Selangor sebagai kawasan keluaran operasi (turn out area),” katanya.

Menurut kenyataan itu, JBPM sentiasa memberi penekanan dalam meningkatkan aspek perlindungan kebakaran dan penyelamatan kepada masyarakat setempat.

Dengan pengoperasian balai ini selepas diserahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 22 Januari lalu, ia memberi gambaran bahawa JBPM sensitif dan sentiasa menyokong dalam membantu merealisasikan hasrat Perbadanan Putrajaya bagi menjadikan Wilayah Persekutuan ini sebagai sebuah bandar pintar, selamat dan e-mobiliti seperti digariskan di dalam Pelan Induk Putrajaya Bandaraya Pintar 2018 – 2025.

Pengoperasian balai itu disaksikan oleh Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM bersama Pengarah JBPM Putrajaya, Hafizal Mohd. Razali.

Balai Bomba Presint 14, Putrajaya boleh dihubungi di talian 03-88811944. – Sumber UTUSAN ONLINE

Published on 2021-02-10 15:06:32 Posted By Administrator