Banjir: Bomba bantu bawa jenazah ke kubur View Announcement in New Tab

KUANTAN: Pasukan Bomba dan Penyelamat hari ini bertindak di luar kebiasaan dalam membantu operasi banjir dengan membawa jenazah seorang warga emas ke Tanah Perkuburan Kampung Desa Baru Purun untuk urusan pengebumian.

Jenazah Majid Abu Bakar, 84, diuruskan kakitangan Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh selepas anak saudaranya Mohd Nadzri Mat Amin, 39, menghubungi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah bagi mendapatkan bantuan.

Allahyarham meninggal dunia di rumahnya malam tadi kerana sakit tua.

Mohd Nadzri berkata, kampung mereka dinaiki air sejak Isnin lalu dan bimbang bot fiber yang digunakan penduduk untuk menyeberangi banjir terlalu kecil dan tidak seimbang bagi membawa jenazah.

"Semasa sedang menguruskan jenazah, bomba menghubungi saya memaklumkan mereka akan menunggu di lokasi banjir untuk membawa jenazah ke masjid sebelum ke tanah perkuburan," katanya.

Mohd Nadzri berkata, pihak bomba tiba sekitar 12 tengah hari dan urusan pengebumian bapa saudaranya selesai selepas Zohor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, Syed Moshen T Ismail, berkata laluan ke tanah perkuburan itu dinaiki air sedalam empat meter sepanjang kira-kira satu kilometer.– Sumber : BERNAMA

Published on 2021-02-10 12:16:42 Posted By Administrator